BBM3410Satu2019: Etika Penulisan Blog

Menurut Normaliza Abd Rahim (2014), dalam Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim (2019) menyatakan bahawa terdapat 10 etika penulisan blog dengan baik. Antaranya ialah :

1. Tajuk yang menarik perhatian pembaca

Tajuk yang dipilih penulis hendaklah ringkas tetapi padat untuk menarik perhatian pembaca. Tajuk yang menarik sangat penting dalam penulisan blog. Hal ini demikian kerana tajuk merupakan perkara pertama yang akan dilihat oleh pembaca blog. Tajuk yang dipilih merupakan panduan kepada penulisan blog, jika tajuk yang dipilih menarik pasti pembaca akan tertarik untuk membaca blog tersebut dan sebaliknya.

2. Cerita menarik yang dapat menarik hati pembaca.

Penulisan blog yang baik hendaklah memiliki cerita yang menarik untuk menarik hati pembaca. Cerita yang menarik ini seharusnya daripada perkongsian pengalaman penulis itu sendiri dalam melakukan sesuatu perkara. Penulisan berkenaan pengalaman ini akan menjadi lebih menarik sekiranya ditulis dalam pelbagai jenis genre seperti romantik, gembira, sedih, lucu dan sebagainya. 

3. Masukkan ayat yang humor dan berbentuk jenaka untuk membuatkannya lebih menarik.

Seterusnya, pemilihan ayat juga penting dalam menulis sesuatu penulisan. Penulisan yang mempunyai ayat yang humor dan berbentuk jenaka akan menjadikan penulisan blog lebih menarik. Hal ini demikian kerana penulisan yang formal akan menyebabkan pembaca cepat bosan dengan penulisan yang dibuat. Penulisan berbentuk humor dan jenaka akan menjadikan pembaca lebih santai ketika membaca. Penulisan bersahaja dalam blog sangat membantu kepada penulis. Perkara ini akan menyebabkan pembaca ingin terus membaca artikel yang dibuat. 

4. Memastikan terdapat hujah terbaik untuk menghuraikan penulisan.

Selain itu, penulisan blog yang baik dalam menghuraikan hujah akan menjadikan blog itu lebih berkualiti. Situasi ini kerana jika sesuatu blog itu tidak menghuraikan penulisan berdasarkan pasti pembaca tidak akan percaya kepada sumber yang diperolehi. Hujah yang hendak disampaikan mestilah mempunyai fakta yang betul supaya penulisan yang dibuat akan lebih yakin untuk dibaca.

5. Kaitkan penulisan dengan berita terkini.

Penulisan yang dibuat juga hendaklah dikaitkan dengan berita-berita terkini. Hal ini demikian kerana penulis dapat membantu membaca dalam mengetahui hal-hal semasa serta dapat menambahkan pengetahuan mereka berkenaan perkara-perkara yang baru. Malah, penulisan yang dibuat akan jadi lebih bermanfaat untuk dibaca. 

6. Gunakan perkataan dan struktur ayat yang ringkas.

Tambahan lagi, penggunaan perkataan dan struktur ayat yang ringkas juga dapat membantu pembaca. Penulisan blog yang dibuat perlulah menggunakan kata-kata dan struktur ayat yang ringkas supaya penulisan yang dibuat tidak begitu 'berat' untuk membaca. Hal ini demikian kerana jika penulisan yang dibuat menggunakan perkataan dan struktur ayat yang sukar, ini akan menjadikan pembaca merasa tertekan dan bosan. Oleh itu, pemilihan kata dan struktur ayat yang ringkas dalam penulisan sangat membantu para pembaca.

7. Dapat dibaca dan difahami.

Penulisan blog yang baik juga hendaklah mempunyai penulisan yang mudah dibaca serta difahami. Hal ini demikian kerana penulisan yang sukar dibaca dan difahami akan menjadikan para pembaca  sukar untuk meneruskan pembacaan kerana tidak memahami penulisan yang dibaca. Penulisan akan mudah difahami jika penulis menggunakan kata dan ayat yang mudah untuk dibaca serta difahami.

8. Dapat berkomunikasi dengan pembaca.

Penulisan blog yang baik turut dapat berkomunikasi dengan pembaca. Penulisan yang dapat berkomunikasi dengan pembaca ini bermaksud penulis blog hendaklah meletakkan suatu ruangan yang dapat membantu pembaca untuk menyuarakan pendapat serta bertanyakan soalan kepada penulis. Perkara ini menjadikan penulis dan pembaca dapat berkomunikasi antara satu sama lain.

9. Masukkan moral dan nilai estetika dalam penulisan.

Tambahan lagi, penulisan blog yang terbaik juga hendaklah mempunyai moral dan nilai estetika dalam penulisan. Hal ini demikian kerana penulisan yang mempunyai moral dan  nilai estetika akan dapat membantu pembaca dalam meningkatkan nilai moral dalam diri mereka ketika membaca. Bukan itu sahaja, penulisan yang dibuat juga dapat memberikan manfaat kepada pembaca.

10. Berilmu untuk penulisan pendidikan. 

Akhir sekali, penulisan blog yang dibuat mestilah bermanfaat kepada pembaca terutamanya dalam penulisan pendidikan. Hal ini demikian kerana penulisan yang dibuat dapat dijadikan rujukan kepada mereka yang membaca. Perkara ini juga sekali gus akan menjadikan penulisan yang dilakukan dapat menarik minat pembaca terutamnya pelajar. 


Comments

Popular posts from this blog

BBM3410Satu2019: Ulasan Blog Di Dalam Kelas Bahasa

BBM3410Satu2019: CLOSE-UP (Prestige Production)