BBM3410Satu2019: Ulasan Buku Eh!!! Media Sosial

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada hari ini saya akan memberikan ulasan mengenai buku Eh!!! Media Sosial. Buku ini mengandungi lapan bab. Bab satu menceritakan berkenaan Media Sosial: Gambaran Keseluruhan. Berdasarkan bab ini, definisi media sosial, rangkaian media sosial dan jenis-jenis media sosial telah dijelaskan. Seterusnya, bab kedua menerangkan berkenaan media sosial Twitter dan trend terkini. Terdapat satu kajian baru telah dilakukan untuk membuktikan bahawa Twitter merupakan media sosial yang mudah untuk diakses, pantas dan efisien serta dapat membekalkan maklumat terkini. Selain itu, bab tiga pula menjelaskan berkenaan muka buku atau dikenali sebagai Facebook. Pelbagai kebaikan dan kelebihan menggunakan Facebook diterangkan dalam bab ini. Contohnya seperti keberkesanan menggunakan Facebook semasa berinteraksi dengan pelajar. Terdapat juga kajian yang dilakukan untuk membuktikan bahawa Facebook dapat membantu para guru untuk menjadikan Facebook sebagai cara pengajaran dan pembelajaran dengan lebih berkesan. Tambahan lagi, bab empat menjelaskan berkenaan dengan Instagram. Bab ini turut membuktikan bahawa kajian yang dijalankan amat berminat dengan cara penggunaan Instagram yang ringkas dan sederhana. Hasil kajian ini turut menjelaskan bahawa subjek-subjek menggunakan cerita pendek di Instagram hampir setiap hari.

Bab lima menerangkan berkenaan penggunaan emel yang masih terkenal sehingga kini. Kajian yang dijalankan berkaitan penggunaan emel ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada pembangunan, penaiktarafan, pengesahan keberkesanan dan kelonggaran dalam pendekatan pengajaran bahasa. Manakala, bab enam pula berfokus kepada penggunaan blog di dalam kelas bahasa. Kajian yang dilakukan jelas menunjukkan bahawa blog dapat membantu pelajar asing seperti Korea dalam mempelajari dan menguasai bahasa Melayu. Bab tujuh pula menceritakan berkenaan isu penggunaan rangkaian media sosial. Kebanyakan responden mengatakan bahawa terdapat isu penggunaan bahasa dan struktur ayat di dalam rangkaian sosial. Bab terakhir memfokuskan kepada implikasi pedagogi. Media sosial dikatakan dapat memberi pelbagai peluang dalam pembelajaran bahasa untuk lebih berkesan terutamanya dalam meningkatkan kefasihan berbahasa. Implikasi buku ini adalah dapat menjadikan para pelajar dan guru menggunakannya dalam pengajaran dan pembelajaran. Hal ini kerana terdapat pelbagai cara menggunakan media sosial dengan mudah dan ringkas.

Rujukan:
Noraien Mansor & Normaliza Abd Rahim. (2019). Eh!!! Media Sosial. Kuala Terengganu: Universiti Malaysia Terengganu.

Buku:
Eh!!! Media Sosial

Harga:
RM 67.00

#ProfDrN2019Satu
#BBM3410Satu2019
#Minggu12KelasAmali
#3Disember2019
#BestBukuIni



Comments

Popular posts from this blog

BBM3410Satu2019: Ulasan Blog Di Dalam Kelas Bahasa

BBM3410Satu2019: CLOSE-UP (Prestige Production)